Sinopsis

Cempaka seorang gadis berusia 20-an, tinggal di kawasan pedalaman. Cempaka suka menyanyi dan berangan-angan untuk menjadi seperti penghibur pujaannya iaitu Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Suatu hari semasa sedang menyanyi di tepi sungai, Cempaka terlihat seorang lelaki yang hampir lemas. Lelaki tersebut ialah Aaron berusia lewat 20-an, seorang chef selebriti yang terkenal di Malaysia.

Namun pada waktu itu Cempaka langsung tidak mengenali Aaron, kerana rumah Cempaka tidak ada televisyen. Hidup Cempaka hanya bertemankan sebuah radio buruk dan kaset-kaset Siti Nurhaliza tinggalan arwah ibunya. Disebabkan Cempaka telah menyelamatkan nyawanya, sebagai tanda membalas budi, Aaron memberikan wang kepada Cempaka. Namun Cempaka menolak mentah-mentah wang tersebut.

Sebaliknya Cempaka minta Aaron bawa dia keluar daripada kawasan pedalaman. Menurut Cempaka dia ingin ke Kuala Lumpur. Aaron akur dengan permintaan Cempaka. Akhirnya mereka pun sampai di Kuala Lumpur. Cempaka sangat gembira kerana kini dia berjaya menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur dan tak lama lagi impiannya juga akan menjadi kenyataan. Aaron dan Cempaka berpisah dan mengikut haluan masing-masing.

Cempaka yang tidak biasa dengan suasana di bandar berasa kekok dan melalui pelbagai kesukaran. Manakala Aaron pula asyik terfikirkan Cempaka. Aaron bimbang akan keaadan Cempaka yang tidak tahu selok-belok Kuala Lumpur, juga sikap Cempaka yang lurus bendul. Suatu hari Cempaka bertembung dengan Aaron secara tidak sengaja, waktu itu Cempaka sedang diganggu oleh sekumpulan samseng jalanan. Aaron menyelamatkan Cempaka dan menawarkan Cempaka menjadi pembantu dapur di restoren miliknya.

Cempaka menerima tawaran Aaron, kerana Cempaka sedar dia perlu survive di bandar, kalau tidak dia tidak akan dapat mencapai impiannya. Bermulalah episod kucar-kacir dalam hidup Aaron dan Cempaka. Mana tidaknya Cempaka yang lembab dan suka berangan sering menjadi mangsa kemarahan Aaron yang garang. Suatu hari terjadi pergaduhan besar antara Aaron dan Cempaka. Cempaka menghilangkan diri.

Sejak itu hidup Aaron jadi berantakan. Baru Aaron sedar yang dia ada menyimpan hati pada Cempaka. Aaron gagal menemui Cempaka, sebaliknya Aaron terjumpa sebuah buku lusuh milik Cempaka. Di dalam buku itu, tertulis impian Cempaka. Selama ini impian Cempaka adalah untuk bertemu dengan penghibur pujaannya Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Manakala Cempaka yang sesat di Kuala Lumpur, telah tersilap masuk ke dalam van krew yang dalam perjalanan ke konsert Dato’Sri Siti Nurhaliza. Krew yang memandu van tersebut menyangkakan Cempaka adalah penari latar konsert Dato’ Sri Siti.

Kebetulan Aaron pula berada di dalam dewan konsert Dato’ Sri Siti. Konsert sedang berlangsung. Tiba-tiba Dato’ Sri Siti Nurhaliza memanggil Aaron naik ke atas pentas. Dato’ Sri Siti ingin menyanyikan lagu Aku Cinta Padamu dan meminta Aaron untuk memberi ucapan untuk orang yang dicintainya. Aaron menjerit ‘Cempaka Aku Cinta Padamu’. Cempaka yang berada di belakang pentas tiba-tiba muncul di atas pentas dan menangis terharu kerana dapat bertentang mata dengan penghibur pujaannya Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan mendengar ucapan cinta daripada Aaron.

Kedengaran lagu Aku Cinta Padamu sedang berkumandang. Aaron dan Cempaka sedang masak di dapur bersama-sama dalam kebahagiaan.

 

Watak & Perwatakan

  1. Cempaka (Wany Hasrita)

Seorang gadis berasal dari kawasan pedalaman, berumur 20-an. Sangat meminati Dato’ Siti Nurhaliza. Hobinya mendengar kaset Dato’ Sri Siti Nurhaliza pemberian arwah ibunya. Mempunyai impian untuk berjumpa dengan penghibur pujaannya. Seorang yang baik hati, jujur dan sensitif.

  1. Aaron Iskandar (Izzue Islam)

Seorang chef selebriti yang terkenal dan digilai ramai gadis. Walaupun perwatakannya tenang tetapi sangat garang apabila berada di dapur. Seorang penyayang dan mengambil berat. Suka memendam perasaan dan agak ego.

  1. Penampilan Istimewa Dato’ Sri Siti Nurhaliza

Menyatukan Cempaka dan Aaron melalui lagu Aku Cinta Padamu nyanyian beliau.