Perginya Seorang Legenda Komik Marvel, Stan Lee

Penulis, pengarang dan penerbit legenda yang menghidupkan komik Marvel Universe, Stan Lee, meninggal dunia pada usia 95 tahun di Cedars-Sinai Medical Center, Los Angeles.

Kematian tersebut disahkan oleh anak perempuannya, JC, selepas lagenda itu menderita beberapa penyakit termasuk pneumonia dan masalah penglihatan.

Stan memulakan dunia adiwira Marvel bersama Jack Kirby pada tahun 1961 dengan ‘The Fantastic Four’ dan kemudiannya mencipta watak-watak seperti ‘Spider-Man’, ‘Black Panther’, ‘The Incredible Hulk’, ‘X-Men’, Iron Man dan ‘The Avengers’.

Selain itu, Stan juga banyak kali mencuri perhatian para penonton dengan membuat penampilan kameo dalam kesemua filem Marvel tersebut.

Pada tahun 2008, Stan pernah dianugerahi Pingat Seni Kebangsaan iaitu anugerah tertinggi pemerintah bagi para seniman kreatif.

Seperti kita semua tahu, komik Stan amat diminati ramai dan karakter-karakter Marvel yang dicipta olehnya sentiasa menjadi perhatian dan perbualan orang ramai.

Namun, ketika berusia 40 tahun, beliau pernah mula berputus asa dengan dunia komik, tetapi isterinya, Joan memberi semangat kepadanya agar terus berkarya.

“Saya pernah berasa rendah diri kerana ketika rakan-rakan yang lain membina bangunan, saya hanya membuat komik.”

“Namun, saya akhirnya sedar bahawa hiburan adalah salah satu elemen penting dalam kehidupan.”

“Apabila saya dapat menghiburkan orang, saya yakin saya telah melakukan sesuatu yang betul.”

Itu adalah antara kata-kata beliau yang sentiasa diingati oleh para peminat yang menggemari dunia komik dan juga adiwira.

Tidak dinafikan, Stan sememangnya seorang legenda yang memiliki kekuatan untuk menginsipirasi serta menghiburkan orang ramai dan pemergiannya tiada ganti.