Sanggup Merangkak Dalam Longkang Demi Seekor Kucing

Disebabkan kasih yang mendalam terhadap haiwan, beberapa anggota bomba sanggup merangkak dalam saluran longkang bertutup sejauh enam meter untuk menyelamatkan seekor anak kucing yang terperangkap, di Stesen Komuter Tiroi, Labu, Seremban, semalam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BDP) Seremban 2, Mohd Syazwan Saidy, berkata enam anggotanya dihantar ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 3 jam petang.

Katanya, mereka terpaksa masuk dan merangkak untuk menyelamatkan anak kucing tersebut sebaik sahaja mengesan kedudukan anak kucing betina itu yang berada dalam saluran longkang bertutup.

“Anggota memberi minum susu terlebih dahulu kepada anak kucing sebelum mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan dan dikembalikan kepada ibunya.

“Sebelum itu, seorang kakitangan stesen itu menghubungi bomba selepas cubaannya untuk mengeluarkan anak kucing itu tidak berjaya.

Mereka juga hanya menyedari terdapat seekor anak kucing terperangkap di dalam longkang terbabit selepas ibu kucing itu membuat bising sebelum bertindak menghubungi pihak bomba.

“Ibu kucing itu membuat bising sejak tiga hari lalu sebelum kakitangan itu menyedari anaknya terperangkap di dalam saluran longkang. Dia serta beberapa rakan cuba membantu namun tidak berjaya sebelum menghubungi bomba,” katanya.